
Mediator Komuniti punya peranan sebagai ejen pendamai, tangani perselisihan dalam komuniti
SHAH ALAM – Ahli Mediator Komuniti (MK) mempunyai peranan sebagai ejen pendamai bagi menangani perselisihan atau krisis yang mampu menggugat keharmonian dalam komuniti.
EXCO Perpaduan, Datuk Rizam Ismail berkata, ahli MK merupakan penggerak dan pemangkin dalam usaha kerajaan menjayakan perpaduan di peringkat akar umbi, selain sebagai pendamai masyarakat.
“Ahli MK ini dilantik di setiap daerah dan orang ramai yang ada masalah kecil seperti pergaduhan dengan jiran atau sebagainya, boleh bertemu dengan mereka di pejabat perpaduan daerah.
“Individu yang kita lantik ini merupakan sukarelawan yang dilatih dan terdiri daripada pemimpin komuniti. Perkhidmatan yang disediakan juga adalah percuma,” katanya, semalam.
Terdahulu, Rizam menyempurnakan perasmian Sesi Libat Urus MK Bersama Agensi dan penyerahan watikah pelantikan di Pusat Konvesyen Midlands, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JPNIN Selangor, Burhanuddin Daud dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.
Dalam majlis tersebut, seramai 87 individu menerima tauliah pelantikan mereka sebagai Ahli Mediator Komuniti (MK) di negeri ini, yang ditauliah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor.
Mereka merupakan petugas sukarelawan dan berfungsi sebagai perantara membantu dua pihak bertelingkah untuk mencari jalan penyelesaian yang dipersetujui bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






