
MCPF gesa KPDN rampas peranti merokok menyerupai perkakas alat tulis
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa untuk
melakukan serbuan dan rampasan ke atas peniaga yang memiliki dan menjual peranti rokok yang menyerupai perkakas alat tulis.
Gesaan tersebut disuarakan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob yang menyifatkan tindakan peniaga dalam talian yang memasarkan produk itu adalah tidak bertanggungjawab serta melanggar undang-undang.
Menurut Ayub, taktik licik terbaru yang menyasarkan pelajar sekolah itu bukan saja menarik minat remaja dan kanak-kanak untuk membelinya, bahkan mengelirukan beberapa pihak termasuk guru dan ibu bapa.
“MCPF berpandangan tindakan penjual berkenaan jelas melanggar beberapa undang-undang antaranya Akta Hak Cipta 1987, Akta Paten (Pindaan) 2022 serta Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengerlirukan.
“MCPF melihat taktik penjualan vape dan rokok elektronik sebegini boleh mempengaruhi pelajar untuk membawanya ke sekolah tanpa sebarang kegusaran yang sekali gus akan meningkatkan tabiat tidak sihat dan memudaratkan di kalangan remaja dan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, MCPF turut mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) agar dapat merangka satu peraturan khusus penjualan produk merokok bagi mengekang peniaga menjual peranti vape dan rokok elektronik yang mampu menarik minat remaja dan kanak-kanak.
“Penjualan peranti ini secara terbuka dalam talian dan kedai barangan gajet memudahkan pelajar membelinya yang sekali gus menyukarkan pemantauan daripada pihak berwajib.
“Ini sekali gus akan merencatkan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan remaja atau pelajar kepada rokok termasuk vape meskipun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu,” ujarnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |