
MCMC terima 4,699 permohonan turunkan kandungan di media sosial
KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,699 permohonan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menurunkan kandungan di media sosial bagi minggu pertama tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, permohonan melibatkan hantaran judi dan penipuan itu adalah yang terkini dicatatkan oleh MCMC setakat jam 9 pagi tadi.
Beliau berkata, daripada 4,699 permohonan itu sebanyak 72 peratus berkait isu judi dalam talian, manakala 14 peratus hantaran berunsur penipuan.
“Kedua-dua ini sudah 86 peratus daripada semua kandungan yang diminta diturunkan,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2025 (IRC 2025), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya memaklumkan, MCMC telah berjaya menyekat lebih 3.1 bilion panggilan scam dan memproses hampir 12,000 aduan tahun lalu.
Beliau berkata, perkara itu adalah satu pencapaian penting yang menegaskan komitmen Malaysia dalam menangani ancaman siber dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat.
“Adalah penting untuk mengimbangi kemajuan teknologi dengan peraturan yang kukuh bagi memastikan pertumbuhan teknologi mampan dapat diteruskan.
“Walaupun teknologi memacu kemajuan, namun ia perlu disokong oleh peraturan yang melindungi pengguna dan menggalakkan inovasi.
“IRC 2025 adalah antara usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan serantau dalam ASEAN bagi menetapkan piawaian digital secara bersama dan memupuk inovasi dalam kalangan negara ASEAN dan seterusnya,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |