BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

Kandungan terlarang: Telegram dipanggil jumpa MCMC

KUALA LUMPUR — Platform media sosial Telegram dijadualkan mengadakan sesi perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di ibu negara minggu hadapan bagi membincangkan isu penyalahgunaan platform berkenaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara perkara yang akan dibangkitkan termasuk penipuan dan perjudian dalam talian, kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak, bahan pornografi serta pelanggaran hak cipta membabitkan filem dan rancangan televisyen.

“Telegram memiliki hampir satu bilion pengguna di seluruh dunia, namun jumlah pekerja mereka dianggarkan sekitar 50 orang.

“Kebanyakan operasi dikendalikan secara automatik atau menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini, hari ini.

Menurut beliau, perbezaan undang-undang antara negara memerlukan perbincangan lanjut bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan tempatan.

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan perjudian dalam talian mencatatkan jumlah pelanggaran tertinggi di platform digital, dengan 51 peratus daripada kandungan yang diturunkan melibatkan aktiviti tersebut.

“Di Malaysia, perjudian dalam talian tidak dibenarkan. Tetapi di beberapa negara seperti Vietnam, ia dibolehkan. Maka di sinilah perlunya libat urus antara kerajaan dan penyedia platform seperti Telegram.

“Facebook dikenal pasti sebagai platform paling banyak menyiarkan iklan berkaitan perjudian dalam talian.

“Saya anggap ia sebagai pesalah utama dalam isu ini, diikuti oleh TikTok dan beberapa platform lain,” jelasnya.

Setakat 1 Januari hingga semalam, sebanyak 173,642 kandungan telah diturunkan oleh penyedia platform digital, dengan lebih separuh daripadanya melibatkan perjudian dalam talian.

Perbincangan itu antara inisiatif strategik kerajaan memperkukuh pematuhan platform digital terhadap rangka perundangan negara dan memastikan keselamatan ruang siber terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button