BERITA SEMASA

MCMC tawar 2 program biasiswa, turut sediakan peluang kerjaya

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan dua program biasiswa iaitu Biasiswa MCMC Legasi dan Biasiswa MCMC Care yang dirangka bagi membentuk bakat masa depan dalam sektor komunikasi dan multimedia (C&M) yang semakin berkembang pesat di Malaysia.

Menurut MCMC, ini merupakan kali pertama MCMC menawarkan biasiswa, satu inisiatif yang mencerminkan komitmen jangka panjang dalam membangunkan barisan bakat berkemahiran tinggi dan demi memajukan sektor komunikasi dan multimedia negara.

“Kedua-dua biasiswa ini menyediakan pembiayaan penuh serta pendedahan industri secara berstruktur bagi melengkapkan bakat muda Malaysia dengan kemahiran dalam bidang pengajian seperti telekomunikasi, media, dasar pengawalseliaan, keselamatan siber dan internet of things (IoT).

“Biasiswa ini menunjukkan komitmen MCMC untuk melahirkan bakat muda yang dapat menyokong kemajuan digital negara. Melalui peluang berdasarkan merit dan keperluan, MCMC membantu golongan belia berkembang, menyumbang secara bermakna dan membina masa depan dalam bidang komunikasi dan multimedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, Biasiswa MCMC Legasi ditawarkan secara merit kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka sama ada dalam atau luar negara.

Selain pembiayaan penuh bagi yuran pengajian dan kos sara hidup, katanya, program itu turut menawarkan penempatan latihan industri serta jaminan pekerjaan di MCMC.

“Penerima biasiswa akan didedahkan kepada bidang seperti pembangunan peraturan, infrastruktur digital, inovasi dasar dan keselamatan rangkaian.

“Mereka juga akan menerima latihan dan pensijilan dalam pelbagai kemahiran bagi memastikan mereka bersedia untuk memimpin sektor ini selepas tamat pengajian,” katanya.

Sementara itu katanya, Biasiswa MCMC Care pula merupakan biasiswa berasaskan keperluan yang bertujuan membantu pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam tempatan.

Selain bantuan kewangan penuh, katanya, para penerima biasiswa juga akan mendapat peluang menjalani latihan industri di MCMC.

Maklumat permohonan bagi kedua-dua program biasiswa itu akan dibuka mulai hari ini hingga 24 Julai 2025.

Sebarang makluman terkini akan dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi MCMC dan penerima biasiswa yang berjaya akan dihubungi pada Ogos ini.

Untuk maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan dan permohonan dalam talian boleh layari https://mcmc.gov.my/academy/en/scholarships-.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button