MCMC minta TikTok beri penjelasan platform digunakan untuk rekrut keldai dadah
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini meminta TikTok memberi penjelasan mengenai mekanisme pemantauan kandungan mencurigakan susulan laporan sindiket merekrut keldai dadah menerusi platform tersebut.
Tindakan itu susulan laporan satu sindiket dipercayai memperdaya beberapa individu untuk menyeludup dadah ke Manchester, United Kingdom melalui tawaran kerja yang diiklankan di TikTok.
“MCMC meminta penjelasan rasmi daripada TikTok berhubung mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman mereka terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah.
“Ini termasuk tawaran kerja palsu yang berpotensi memperdaya pengguna,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
MCMC turut memberi amaran bahawa penyalahgunaan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya pengguna bagi kegiatan jenayah merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, Seksyen 263(1) memperuntukkan pemegang lesen bertanggungjawab mengambil langkah terbaik bagi memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalannya tidak digunakan untuk tujuan jenayah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran kerja mudah di media sosial, terutamanya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara.
“Tawaran seperti ini sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa menjadi keldai dadah,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut, MCMC akan terus bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Jabatan Kastam bagi memperkukuh pemantauan serta meningkatkan kesedaran terhadap kegiatan jenayah rentas sempadan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






