MCMC, MINDEF meterai perjanjian bangun sistem radar udara jarak jauh TUDM
LANGKAWI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai perjanjian strategik bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali dalam satu majlis bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025) yang turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
MCMC berkata, perjanjian berkenaan melambangkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem keselamatan negara menerusi pendekatan kolaboratif antara sektor awam dan pertahanan.
Menurutnya, pelaksanaan perjanjian itu merupakan langkah strategik dalam memperkasa keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan negara melalui pembangunan infrastruktur kritikal yang berteraskan teknologi komunikasi dan keselamatan.
“MCMC dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjasama melaksanakan inisiatif strategik menyeluruh bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh TUDM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sistem radar baharu itu dijangka meningkatkan keupayaan pemantauan dan kawalan ruang udara khususnya di wilayah selatan Semenanjung Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan keselamatan serta kedaulatan negara.
Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif tersebut selaras dengan pendekatan Whole-of-Government (WoG) yang menekankan kerjasama erat antara agensi untuk merealisasikan aspirasi keselamatan nasional.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin (Bersara); dan Mejar Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha TUDM yang mewakili Panglima Tentera Udara, serta barisan pengurusan tertinggi MINDEF dan MCMC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






