BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC akan panggil Meta beri penjelasan isu iklan penipuan, judi dalam talian

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius pendedahan agensi berita antarabangsa, Reuters, yang mendakwa syarikat gergasi teknologi Meta meraih keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan, perjudian dalam talian dan aktiviti haram.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dan akan memanggil pihak Meta untuk memberikan penjelasan rasmi berhubung ketepatan laporan berkenaan.

“Pada masa sama, MCMC akan memulakan siasatan terhadap perkara ini. Sekiranya terbukti benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam serta undang-undang negara,” kata kenyataan itu.

Menurut MCMC, sebelum laporan tersebut diterbitkan, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa platform media sosial utama termasuk Meta bagi membincangkan isu iklan penipuan dan perjudian dalam talian.

Dalam sesi itu, MCMC menzahirkan kebimbangan terhadap jumlah permintaan penurunan kandungan yang tinggi perlu dikemukakan kepada Meta berbanding platform lain.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025, sebanyak 157,208 permintaan dikemukakan kepada Meta bagi menurunkan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan.

Jumlah itu jauh melebihi platform lain, antaranya TikTok (3,956 permintaan), Telegram (269), X atau Twitter (11), dan YouTube (45,448) bagi tempoh sama.

MCMC menegaskan, pihaknya telah menasihati Meta agar mengambil langkah lebih proaktif dalam membanteras aktiviti penipuan serta perjudian dalam talian, memandangkan tindakan sedia ada masih belum mencukupi dan terus memberi kesan negatif kepada masyarakat.

“Bagi memastikan keselamatan dalam talian lebih berkesan, semua platform media sosial serta perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah dan bertanggungjawab membuktikan sistem serta langkah-langkah bagi mencegah aktiviti haram,” jelas MCMC.

Suruhanjaya itu turut menyarankan agar platform-platform berkenaan melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

Tegas MCMC lagi, sekiranya terdapat bukti mana-mana platform bersubahat atau membantu aktiviti menyalahi undang-undang, tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button