
MCMC komited kerjasama dengan PDRM turunkan kandungan judi dalam talian
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah bidang kuasa Akta 588, komited memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan penurunan kandungan media sosial, khususnya melibatkan judi dalam talian.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, bagi mempercepatkan proses siasatan kesalahan perjudian dalam talian, MCMC turut memberikan sokongan dalam bentuk bantuan teknikal.
“Selain itu, sekatan laman sesawang dan bantuan teknikal seperti pembekalan maklumat dan analisis forensik digital turut dibuat bagi mempercepatkan proses siasatan yang berkaitan dengan kesalahan perjudian dalam talian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Azahari meminta Kementerian Komunikasi menjelaskan langkah diambil untuk membanteras aktiviti judi dalam talian semakin berleluasa termasuk usaha pemantauan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan internet serta platform digital.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan sebanyak 5,026 laman sesawang judi disekat, manakala 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial diturunkan dari tahun 2022 hingga 1 Februari lalu.
Beliau berkata, ia selaras dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mewajibkan setiap penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kebanyakan pengendali platform media sosial memberikan kerjasama yang baik sejak penetapan permohonan lesen dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, Fahmi mendedahkan, masih terdapat pengendali platform yang masih berlengah dalam usaha menurunkan iklan berkaitan aktiviti judi haram dalam talian.
“Sejak kita memulakan proses dan rejim perlesenan ini kita dapati banyak platform memberikan respon berbeza, ada yang sangat bersedia untuk memberi kerjasama, ada yang culas dan memberikan pelbagai alasan untuk melengahkan proses.
“Secara umum, dalam platform seperti Youtube kita dapati iklan judi juga banyak disiarkan dari 1 Januari hingga tengah malam tadi sebanyak 5,167 kandungan dipohon untuk diturunkan dan 5,115 yang Youtube sudah turunkan.
“Bermaksud Google pada waktu ini belum dilesenkan tapi kerjasama yang mereka berikan sangat baik berbeza dengan Telegram yang mana secara keseluruhan hanya 39 peratus permintaan diuruskan,” katanya yang juga jurucakap rasmi Kerajaan Perpaduan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |