
MCMC, kerajaan negeri Johor meterai kerjasama strategik
JOHOR BAHRU – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan negeri Johor menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini.
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, kerjasama strategik itu bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur digital, memperluas liputan rangkaian internet, serta meningkatkan tahap kesedaran rakyat terhadap keselamatan siber dan literasi digital.
“Menerusi kerjasama ini, pelbagai inisiatif baharu akan dilaksanakan termasuk pembangunan infrastruktur digital, peluasan liputan 5G di kawasan strategik, pembangunan kapasiti rakyat dan pelaksanaan program keselamatan siber.
“Pelaksanaan inisiatif kerjasama ini dianggar memerlukan peruntukan sebanyak RM300 juta dalam tempoh dua tahun mendatang, bagi memastikan pelaksanaandan objektifnya tercapai,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Kementerian Komunikasi dan MCMC akan meningkatkan capaian internet khususnya untuk menggalakkan penggunaan aplikasi mudah alih oleh orang awam dengan memasang Wi-Fi awam baharu untuk digunakan dengan selamat oleh orang awam dan juga pelancong menerusi inisiatif Johor Safe City.
Katanya, kerjasama itu turut merangkumi peningkatan liputan dan komunikasi mudah alih untuk menggalakkan penggunaan aplikasi teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI) oleh agensi kerajaan, pihak swasta dan orang awam di seluruh Johor.
Jelasnya, peluasan liputan 5G akan dilaksanakan di kawasan berimpak tinggi termasuk pusat transit awam dan kemudahan sukan, kawasan perindustrian, tempat tumpuan pelancong dan di kawasan projek pusat data di Johor.
Tambahnya, ia bertujuan untuk menyokong dan merancakkan transformasi ekonomi dan digital Johor.
“Johor telah diiktiraf sebagai lokasi yang paling pesat berkembang untuk pusat data di seluruh Asia Tenggara. Jumlah kapasiti pusat data Johor dijangka akan terus meningkat dan melepasi tanda 2.7 gigawatt (GW) pada tahun 2027.
“Melihat potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pelaburan baharu di Johor, kerjasama ini juga akan memastikan kawasan JS-SEZ mempunyai infrastruktur digital dan capaian internet yang kukuh, stabil dan menyeluruh, untuk menyokong peningkatan perdagangan dan perniagaan di kawasan ini.
“Menerusi pelaksanaan MoU ini, MCMC akan mendokong negeri Johor ke arah transformasi teknologi dan ekonomi yang progresif serta model kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam memacu pembangunan ekosistem negara berteknologi tinggi,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |