BERITA SEMASA

MCMC gesa orang ramai tidak muat naik, padamkan video pemandu dibelasah hingga maut

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan video insiden tragis yang berlaku di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang pada baru-baru ini bagi menghormati keluarga mangsa.

Bagaimanapun, bagi mereka yang telah terkhilaf memuat naik kandungan tersebut, MCMC menasihatkan supaya ia dipadamkan.

“MCMC menzahirkan rasa simpati dengan insiden tragis yang berlaku di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang baru-baru ini.

“Perkongsian rakaman video mangsa tidak hanya mengguris perasaan keluarga mangsa, malah melanggar prinsip dan etika asas dengan pengunaan grafik berkaitan kecelakaan, kemalangan dan kekerasan yang boleh menimbulkan kegelisahan penonton.

“Sebagai garis panduan berkenaan penciptaan kandungan, rujukan boleh dibuat melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, setiap individu perlu mempertimbangkan sewajarnya untuk tidak menyebarkan video atau kandungan yang berkaitan dengan insiden tersebut.

“Sebarang perkongsian yang melibatkan video atau kandungan melibatkan mangsa serta pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam kejadian pada 20 Feb tersebut, seorang pemandu kereta dipukul sehingga mati kerana dipercayai terlibat dalam kemalangan melibatkan penunggang p-hailing.

Setakat ini lima suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button