
Mayat pendaki Malaysia berjaya dibawa keluar dari Gunung Rinjani
KUALA LUMPUR– Jenazah Rennie Abdul Ghani, 57, pendaki Malaysia yang terkorban selepas terjatuh ke dalam gaung di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat, petang semalam.
Menurut kenyataan rasmi Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), operasi menyelamat di kawasan berkedalaman kira-kira 80 meter itu selesai dengan jayanya selepas usaha intensif selama beberapa jam.
“Jenazah telah selamat dibawa naik dari lokasi kejadian dan kini berada di pintu masuk Torean.
“Ia seterusnya dibawa ke Hospital Bhayangkara Mataram untuk urusan lanjut,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial.
BTNGR berkata, insiden dilaporkan berlaku kelmarin ketika mangsa menuruni laluan Torean, selepas menyertai ekspedisi pendakian yang disertai seramai 23 peserta.
“Ketika kumpulan berhenti rehat di kawasan mata air Banyu Urip, mangsa dipercayai meneruskan perjalanan seorang diri,” tambahnya lagi.
Hasil maklumat awal daripada rakan-rakan pendakian dan pemandu arah, mangsa dipercayai tergelincir selepas terlepas pegangan pada tali keselamatan di salah satu laluan cerun, lalu terjatuh ke dalam gaung.
Operasi mengangkat jenazah melibatkan pasukan penyelamat tempatan dengan kepakaran dalam misi menyelamat di kawasan pergunungan yang berisiko tinggi dan memerlukan penggunaan peralatan khas.
Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan keluarga bagi menguruskan penghantaran pulang jenazah ke tanah air.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |