Maxwell Base Camp terima anugerah status Suunto Regional Green Hub
TAIPING – Kawasan riadah hutan di Bukit Larut, Maxwell Base Camp di sini, muncul sebagai penerima anugerah status Suunto Regional Green Hub pertama di rantau Asia Tenggara daripada jenama jam sukan lasak, Suunto.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Pengalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, anugerah tersebut mampu membantu merancakkan lagi industri pelancongan negara khususnya di Taiping.
Katanya, anugerah tersebut diterima daripada jenama global dari Finland itu, pada Mei lalu.
“Jenama ini mempunyai peminat yang tersendiri. Sudah pasti pengiktirafan sebegini menarik pelancong untuk melihat tempat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Denai Konservasi Maxwell Base Camp di Bukit Larut semalam.

Yang hadir sama, pengamal media terdiri daripada wakil media elektronik, penghasil kandungan serta pempengaruh media sosial yang dibawa bagi menyertai Program Lawatan Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia Perak 2023.
Untuk rekod, Maxwell BaseCamp adalah satu projek pemuliharaan alam sekitar oleh Malaysia Mountain Trail Festival di bawah inisiatif #LoseYourMindDiscoverYourSoul oleh syarikat MMTF Consultant.
MMTF Consultant merupakan sebuah syarikat pengurusan acara sukan antarabangsa yang berpusat di bandar ini dan telah menganjurkan program Malaysia Mountain Trail Festival dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak sejak 2018.
MMTF Consultant telah memulakan projek pembangunan alam sekitar berimpak rendah berkenaan pada Ogos 2022 selepas mendapat kelulusan secara rasmi daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan kerajaan negeri.
Fasa pertama projek pembangunan alam sekitar berimpak rendah ini melibatkan kos kira-kira RM650,000 dan MMTF Consultant telah dianugerahkan geran oleh Think City di bawah Geran Pemangkin Ekonomi Budaya pada 10 Ogos 2022 untuk membiayai kos projek itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






