Berita Semasa

Maut makan sandwic basi: Jabatan Kesihatan ambil sampel makanan

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu mengambil beberapa sampel makanan dari sebuah kedai di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing, Kemaman yang didakwa menjadi punca seorang wanita mengalami keracunan makanan sehingga meninggal dunia.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya turut melakukan swab peralatan dan pengendali makanan untuk membantu siasatan.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman menjalankan siasatan terhadap premis terbabit bagi mengenal pasti punca sebenar dan kita masih menunggu keputusan sampel ini.

“Bagi pihak JKNT, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook memuat naik status di Facebook mengenai kematian ibu saudaranya yang mengalami keracunan makanan selepas makan sandwic yang dibeli di sebuah kedai di R&R Perasing, Kemaman.

Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata, tindakan terhadap premis itu dilakukan selepas PKD Kemaman menerima satu notifikasi kes keracunan makanan membabitkan mangsa berusia 54 tahun yang mengalami gejala keracunan makanan akibat memakan makanan yang dibeli di R&R Perasing, Kemaman.

Katanya, mangsa mula mengalami gejala sakit perut, cirit birit dan muntah selepas memakan makanan yang dipercayai basi.

“Pihak jabatan memandang serius mengenai kes keracunan makanan dan menasihati pengendali makanan supaya sentiasa menitikberat aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual serta memastikan makanan disediakan bersih serta selamat bagi mengelak kes keracunan makanan.

“Orang ramai perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelak memakan makanan yang telah basi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button