BERITA SEMASA

Mat Sabu terima gelaran Datuk Seri

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengetuai senarai 164 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2023 hari ini.

Mohamad yang juga Presiden Amanah, menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama enam lagi penerima darjah kebesaran itu.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar kerajaan melipatgandakan usaha dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya unggul dan mampan.

Baginda juga berharap golongan miskin dan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan dapat diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan, termasuk meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berkenaan.

Seri Paduka bertitah demikian sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan atas usaha proaktif serta inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan dalam meningkatkan taraf hidup dan meringankan beban warganya melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya semua menteri, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta warga kota menjaga kota raya ini sebagai bandar raya yang benar-benar bersih dan cantik.

“Jadikan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf bandar raya kelas pertama bukan kelas kedua atau ketiga dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan,” titah baginda lagi.

Seri Paduka bertitah usaha ini termasuk pemberian bantuan kebajikan rakyat miskin dan terjejas pendapatan, usaha pembasmian miskin tegar bandar dan strategi penyediaan kediaman yang selesa untuk warga berpendapatan rendah.

“Beta juga amat bersyukur dengan komitmen kerajaan beta dalam menjaga kemaslahatan rakyat beta, khususnya dalam menangani isu-isu semasa yang secara tidak langsung merangsang pengukuhan sosio dan ekonomi rakyat beta.

“Pelbagai pembaharuan akan turut dilaksanakan dengan berpegang kepada prinsip menjaga kebajikan rakyat, mengeratkan perpaduan, meringan dan menaikkan taraf hidup rakyat beta di Wilayah Persekutuan,”titah Al-Sultan Abdullah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button