
Masyarakat terus diberi pendedahan mengenai bahaya buli siber
KUALA LANGAT – Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Akademi Kepimpinan Wanita hari ini menganjurkan Program kesedaran mengenai buli siber bertajuk ‘Lindungi Anak Anda, Fahami Buli Cyber’ di Dewan Sri Jugra, di sini.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, ibu bapa, pelajar dan guru mengenai isu buli siber yang semakin membimbangkan.
Ia juga menyediakan platform untuk mereka berbincang serta mendapatkan maklumat mengenai kesan buli siber dan langkah-langkah pencegahannya.
Ahli Majlis Zon 21 Kuala Langat, Nur Zairina Muzaini, dalam ucapannya berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan semua pihak memahami tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kes buli siber di sekolah.
“Sekiranya berlaku buli siber, kami berharap agar semua pihak, terutama pelajar, ibu bapa, dan guru, tahu apa yang perlu dilakukan selepas pelajar melaporkan kejadian tersebut.
“Kami juga ingin memastikan mereka tahu untuk menghindari buli siber dan membentuk komuniti yang lebih selamat di ruang maya,” katanya.
Beliau turut berharap program seperti itu dapat diperluaskan kepada masyarakat agar lebih ramai yang sedar akan bahaya buli siber, sekaligus menyokong usaha kerajaan dalam memperkenalkan akta yang lebih ketat bagi melindungi mangsa buli.

Turut hadir, Urus Setia Majlis Perbandaran Kuala Langat, Nurasyikin Muhammad Yusof yang menyatakan sokongan penuh terhadap program tersebut.
“Ini adalah program buli siber pertama yang diadakan di Kuala Langat dan ia sangat relevan dalam usaha menangani masalah sosial yang semakin meningkat. Isu ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk mencari solusi berkesan,” ujarnya.
Menurutnya, kerjasama antara Majlis Perbandaran, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diteruskan bagi memperluaskan pengetahuan serta langkah-langkah pencegahan buli siber.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Sdn Bhd, Siti Faridah Abdul Samad, turut memberi sokongan penuh terhadap program itu dan menegaskan komitmen kerajaan negeri Selangor dalam melindungi anak-anak daripada ancaman media sosial melalui dasar-dasar yang diperkenalkan.
“Ini adalah salah satu usaha serius dari pihak kerajaan negeri Selangor dalam memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak terjamin,” katanya.

Dalam program itu, para pelajar, ibu bapa, dan guru berpeluang berinteraksi serta bertanyakan soalan kepada ahli panel dalam sesi bual bicara mengenai buli siber.
Program berakhir dengan harapan agar usaha sebegini dapat diteruskan demi melindungi generasi muda daripada ancaman buli siber pada masa hadapan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |