Masyarakat India paling kuat sokong pengampunan diraja Najib
KUALA LUMPUR – Masyarakat India didapati paling kuat menyokong pengampunan diraja bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tinjauan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Projek Sama yang dilaksanakan dengan kerjasama badan pemikir, Merdeka Center mendapati, 62.2 peratus responden daripada golongan itu meyokong pengampunan demikian.
Dapatan tinjauan itu yang dijalankan dari 27 Mac hingga 17 April melibatkan 1,210 responden dari 222 kawasan Parlimen itu turut menunjukkan pendapat awam mengenai permohonan pengampunan Najib berpecah mengikut garis etnik dan politik.
Tinjauan berjudul “Persepsi Awam terhadap Keseimbangan Hukuman Jenayah, Tahanan di Rumah dan Permohonan Pengampunan Najib Razak” itu dilaksanakan sempena ulang tahun ke-7 Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 .
Walaupun Najib mendapat sokongan majoriti pengundi Barisan Nasional (BN) dan segmen komuniti Melayu serta Bumiputera Muslim, sentimen keseluruhan adalah menentang usaha pengampunannya.
“Sebanyak 57.8 peratus daripada responden menentang permohonan pengampunan Najib, dengan alasan pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, kes mahkamah sedang berjalan, dan penolakannya untuk mengakui kesalahan.
“Sebaliknya, hanya 32.7 peratus menyokong pengampunan, dengan kebanyakannya memberi alasan sumbangan Najib kepada negara,” kata Pengarah Projek Sama, Thomas Fann.
Tinjauan turut mendapati, golongan Bumiputera Muslim yang menyokong pengampunan Najib adalah 50.5 peratus manakala orang Melayu adalah sebanyak 43 peratus.
Sebaliknya, 95 peratus responden Cina dan 51 peratus Bumiputera bukan Muslim menentang usaha itu.
Tinjauan itu juga mendedahkan perbezaan pendapat tanpa mengira fahaman politik, dengan penyokong BN sendiri menunjukkan sokongan terhad terhadap kelonggaran hukuman.
“Malah dalam kalangan penyokong BN, 48.9 peratus mendapati hukuman itu adil dan 32.8 peratus menganggapnya terlalu ringan, ini menunjukkan sokongan kuat orang ramai terhadap hukuman tegas dalam kes rasuah, tanpa mengira fahaman politik,” kata Fann lagi.
Sementara itu, penyelidik Merdeka Center, Tan Seng Keat berkata, sampel seramai 1,210 responden itu selaras piawaian tinjauan antarabangsa dan mencerminkan sentimen umum orang ramai, walaupun kumpulan fokus susulan diperlukan untuk meneliti dapatan tersebut lebih mendalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








