BERITA SEMASA

Masjid terbengkalai, penduduk rayu bantuan sambung pembinaan

DENGKIL – Pembinaan semula Masjid Jamiurrahmah di Kampung Limau Manis di sini, masih memerlukan dana kira-kira RM1.6 juta selepas projek itu terbengkalai sejak setahun lalu.

Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani berkata, kerja-kerja pembinaan masjid baharu itu yang dapat memuatkan kira-kira 500 orang jemaah itu setakat ini baharu mencapai 40 peratus.

Katanya, keperluan untuk menyiapkan rumah ibadat itu amat mendesak memandangkan masjid lama telah diroboh untuk memberi laluan kepada pembinaan semula.

Antara faktor yang menjadi punca kelewatan adalah kekangan kewangan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lonjakan harga bahan binaan yang menyebabkan kontraktor tidak dapat menyiapkan projek mengikut bajet asal.

“Projek itu dirancang ketika musim PKP, tetapi hanya dilaksanakan selepas pandemik. Disebabkan perubahan drastik harga barang binaan, kos meningkat dan kontraktor tidak dapat meneruskan pembinaan seperti yang dijadualkan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune hari ini.

Beliau berkata, walaupun kutipan derma telah dilancarkan, jumlah yang diperoleh ketika ini masih tidak dapat menampung kos yang diperlukan.

Sehubungan itu katanya, orang ramai kini bergantung kepada kemudahan surau kecil yang tidak dapat menampung bilangan jemaah.

“Tabung kutipan infak telah dibuka di beberapa surau berdekatan, namun sambutan agak perlahan.

“Jadi saya menyeru orang ramai untuk turut membantu menyumbang agar pembinaan masjid itu dapat diteruskan demi kesejahteraan penduduk kariah Limau Manis,” katanya lagi.

Orang awam yang ingin menyumbang kepada Projek Wakaf Masjid Jamiurramah Kampung Limau Manis boleh menyalurkan sumbangan melalui Bank Islam, nombor akaun 1226-1010-0127-25 atas nama Pembangunan Masjid Jamiurrahmah Sepang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button