Masjid MADANI Permatang Pauh lambang pembangunan berasaskan takwa – Anwar
PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelancaran Masjid MADANI Permatang Pauh di Seberang Perai Tengah sebagai lambang pembangunan berasaskan takwa serta tanda komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat menerusi pendekatan Malaysia MADANI.

Anwar berkata, pembinaan masjid tersebut merupakan impian yang sudah lama tersemat dalam dirinya sejak dahulu dan kini menjadi kenyataan hasil kerjasama pelbagai pihak.
“Alhamdulillah, saya bersyukur atas ikhtiar membangunkan masjid seperti ini yang telah lama saya fikirkan semenjak terkurung di ‘Istana Hinggap’ satu ketika dulu.

“Impian saya ialah melihat sebuah masjid yang indah tetapi berfungsi serta dibangunkan atas asas takwa di Permatang Pauh,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Menurut beliau, keindahan dan kebanggaan terhadap pembinaan masjid itu perlu diterjemahkan dengan usaha mengimarahkannya melalui pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Masjid bukan sekadar bangunan indah, tetapi tempat untuk mengikat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia mesti dimuliakan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya,” katanya lagi.
Dalam majlis berkenaan, Anwar turut menyaksikan Pertukaran Dokumen Terma Utama Kerjasama Pembangunan Rumah Persaraan Mandiri Warga Emas antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).
Beliau berkata, inisiatif tersebut diharap memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya warga emas, selain menjadi amal jariah kepada semua pihak yang terlibat.
“Semoga usaha ini mendapat barakah Allah SWT dan memberi dampak positif kepada ahli kariah serta menjadi amal jariah kepada semua yang terlibat dalam membangunkan Masjid MADANI Permatang Pauh,” katanya lagi.
Anwar turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 18 yang bermaksud, “Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.”
Majlis pelancaran itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan pembangunan seimbang antara kemajuan fizikal dan pembentukan sahsiah spiritual rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






