
Masih terdapat pergerakan tanah di lokasi runtuhan
PUCHONG – Bahagian pagar bersimen beberapa buah rumah di Taman Wawasan dekat sini dilaporkan runtuh lagi susulan pergerakan tanah di kawasan berkenaan, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pergerakan tanah dikesan berlaku pada kira-kira pukul 3.30 petang di lokasi runtuhan sebelum ini.
“Pemantauan dijalankan mendapati berlakunya runtuhan lagi melibatkan simen bahagian depan pintu pagar beberapa rumah di lokasi kejadian runtuh.
“Kejadian berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan kerana tindakan pengosongan kawasan telah pun dijalankan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, pagi tadi.
Buat masa ini, kata Anbalagan, kerja-kerja penanaman cerucuk masih dijalankan.
“Sebanyak 46 cerucuk besi ditanam, proses ini bermula semalam dan akan diteruskan lagi pada hari ini.
“Selain itu, proses mengeluarkan kenderaan tertimbus juga sedang giat dijalankan,” katanya lagi.
Sementara itu, pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sebelum ini teah ditutup susulan kesemua mangsa telah keluar.
Sebelum ini, terdapat lapan individu terdiri daripada satu keluarga berada di PPS ini, namun mereka telah pun keluar.
“Secara rasminya, PPS ini ditutup kira-kira pukul 9 malam tadi,” katanya.
Kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan pada Sabtu lalu memaksa 29 penghuni dipindahkan setelah kediaman mereka terjejas akibat insiden tersebut.
Insiden tersebut turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |