BERITA SEMASA

Maritim Perak rampas 30 set bubu naga di muara Sungai Beruas

IPOH – Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Negeri Perak merampas sebanyak 30 set bubu naga (bubu kambang) di kedudukan sekitar 1.5 batu nautika barat laut muara Sungai Beruas, Perak kira-kira pada jam 4.05 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bubu naga tersebut dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan empat operasi iaitu Op Sayong, Op Pintas, Op Tanjung dan Op Tiris di perairan Perak.

Katanya, penggunaan bubu berkenaan ditemui ketika anggota menyusuri kawasan terbabit selepas melihat kedudukan pancang kayu yang mencurigakan di permukaan air.

“Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu berkenaan adalah penanda lokasi bubu naga yang dipasang individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hambali berkata, penggunaan bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Sehubungan itu katanya, Maritim Negeri Perak akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bubu naga daripada terus berleluasa.

Katanya, sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut boleh dibuat di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button