
Maritim Malaysia selamatkan dua nelayan terkandas di perairan Pulau Pisang
PONTIAN – Dua nelayan yang terkandas di Perairan Pulau Pisang dekat sini akibat kerosakan bot berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor dalam satu operasi pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil memaklumkan, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.30 pagi mengenai sebuah bot nelayan yang mengalami kerosakan dan gagal dihubungi selepas keluar ke laut.
Bertindak atas maklumat tersebut, Maritim Negeri Johor segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat seterusnya menggerakkan aset Kapal Maritim (KM) SATRIA bagi pencarian mangsa pada pukul 7.45 pagi.
“Tindakan ini membuahkan hasil, apabila KM SATRIA berjaya menemui bot nelayan berkenaan pada pukul 10 pagi, kira-kira 0.2 batu nautika dari Pulau Pisang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook agensi berkenaan.
Mangsa, Anizam Azin, 54, dan Muhamad Shahruddin Abdullah, 28, yang merupakan warga tempatan ditemui dalam keadaan selamat sebelum dibawa pulang ke Jeti Ayer Baloi, Pontian.

Beliau berkata, operasi turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Johor.
Sementara itu, Kama Azri memberi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut dan mengingatkan komuniti maritim, khususnya para nelayan agar sentiasa mengambil langkah keselamatan sebelum turun ke laut.
Beliau menegaskan kepentingan memastikan bot dan peralatan berada dalam keadaan baik serta membawa bersama jaket keselamatan dan alat komunikasi yang berfungsi.
“Para nelayan dinasihatkan agar memaklumkan lokasi mereka kepada pihak berkuasa atau komuniti maritim serta sentiasa peka terhadap keadaan cuaca bagi mengelakkan insiden tidak diingini,” tambahnya.
Beliau turut menyeru kepada orang ramai khususnya komuniti maritim agar melaporkan sebarang kecemasan atau kejadian mencurigakan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau MRSC Johor Bahru di talian 07-2219231 untuk tindakan segera.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |