BERITA SEMASA

Insiden bot terbalik, Maritim Malaysia selamatkan 30 warga Indonesia

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan 30 warga Indonesia apabila bot dinaiki mereka terbalik di Tanjung Penawar, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, di sini pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Kama Azri Kamil berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat awal daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Tanjung Pinang berkenaan kejadian di kedudukan 19.3 batu nautika timur laut terbabit.

Maklumat berkaitan kejadian kemudian dimaklum kepada MRSC Johor Bahru kerana lokasi terbabit terletak di dalam kawasan mencari dan menyelamat atau Maritime Search and Rescue Region (MSRR) Malaysia.

Jelasnya, kapal Andros Spirit yang kebetulan berada berhampiran lokasi bertindak segera memberikan bantuan dan menyelamatkan mangsa.

“Punca bot berkenaan terbalik dipercayai selepas berlanggar dengan sebuah kapal.

“KM Sibuan bersama aset lain antaranya bot Petir 11 dan bot Penggalang 15 juga digerakkan ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa. Mereka tidak terkandas lama di lokasi kejadian kerana diselamatkan dengan pantas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, semua mangsa ditempatkan di atas kapal Andros Spirit dan diiringi kapal dan bot ke sempadan perairan Indonesia untuk diserahkan kepada kapal KN Rantos, KN Kalimasadha dan KN Tanjung Datu untuk tindakan selanjutnya.

“Difahamkan mereka akan dibawa balik ke Indonesia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button