Maritim Malaysia lupus dadah RM67,400
MELAKA – Maritim Malaysia melalui Zon Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan melaksanakan pelupusan dadah jenis syabu bernilai lebih RM67,400 di fasiliti pelupusan Medivest Sdn. Bhd. di sini, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Leftenan Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, proses pelupusan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan agensi itu dalam membanteras jenayah penyeludupan dadah melalui perairan negara.
“Setiap sesi pelupusan dihadkan kepada maksimum 80 kilogram dadah dengan tempoh kira-kira lapan jam bagi memastikan kesemua bahan dimusnahkan sepenuhnya sehingga menjadi abu.
“Pelupusan ini bukan sahaja bertujuan untuk memusnahkan dadah, tetapi turut mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik antara Maritim Malaysia, agensi penguat kuasa lain serta komuniti tempatan dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin,” katanya lagi.
Tambah Norrimi, sisa abu hasil pelupusan akan disalurkan kepada syarikat berdaftar khas untuk tujuan penanaman semula secara sah dan terkawal, sekali gus mengekalkan pematuhan terhadap piawaian alam sekitar.
Tindakan itu turut memperkukuh ketegasan Maritim Malaysia dalam menangani penyeludupan dadah secara berterusan, di samping menjamin perairan negara bebas daripada sebarang aktiviti jenayah yang boleh menggugat keselamatan nasional.
“Langkah pelupusan ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani dan keutamaan strategik yang digariskan oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






