BERITA SEMASA

MARDI jenamakan semula durian MDUR88 kepada MARDI Super 88

KUALA KANGSAR – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjenamakan semula durian hibrid MDUR 88 kepada MARDI Super (MS88).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penjenamaan semula itu adalah bagi meningkatkan nilai komersial durian tempatan dalam pasaran domestik serta di peringkat global.

“MARDI Kuala Kangsar dijadikan pusat penyelidikan bagi memperkenalkan varieti-varieti baharu khasnya durian, ia bagi memenuhi pasaran durian antarabangsa yang bernilai berbilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Taman Agro Duriotourism di MARDI Kuala Kangsar di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani serta Pengerusi MARDI, Dr. Azman Ismail.

Jelas Mohamad Sabu, MS88 mempunyai rasa setanding durian premium lain seperti Black Thorn selepas menjalani kajian selama lebih 15 tahun di MARDI.

“Walaupun terdapat persaingan dari Thailand dan Vietnam, namun kita yakin durian Malaysia masih menjadi pilihan di China dan kita cuba memenuhi pasaran durian di,” katanya.

Mengulas mengenai durian tempatan yang dieksport, Mohamad Sabu berkata, ia mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya di pasaran negara China.

“Durian telah menjadi satu perdagangan yang besar yang akan mencapai berbilion ringgit terutama di pasaran negara China.

“Malah setakat ini terdapat kira-kira 8,000 pokok durian MS88 ditanam di seluruh negara oleh petani kecil-kecilan bagi memenuhi pasaran eksport terutama ke China,” katanya.

Sebagai rekod, durian MS88 mempunyai rasa yang lemak manis, isi tebal serta lambat merekah, sekali gus membolehkan penyimpanan lebih lama tanpa menjejaskan kualitinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button