
Mara tawar moratorium enam bulan kepada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menawarkan moratorium, iaitu penangguhan bayaran pinjaman kepada mangsa yang terbabit dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong baru-baru ini.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini berkata, tempoh bantuan moratorium tersebut adalah bagi tempoh enam bulan.
“MARA tawarkan Moratorium (penangguhan pembayaran balik pinjaman) kepada Mangsa kebakaran Putra Heights sehingga enam bulan. Moga dapat kurangkan bebanan musibah,” katanya di Facebook milik beliau.
Asyraf Wajdi walau bagaimanapun tidak mendedahkan angka peminjam Mara yang terjejas akibat kejadian kebakaran besar tersebut.
Terdahulu, bagi meringankan beban mangsa kebakaran itu, beberapa buah institusi kewangan dan syarikat insurans seperti Bank Islam, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB dan Etiqa turut menawarkan moratorium serta mengetepikan caj-caj tertentu.
Dalam pada itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menyarankan mangsa kejadian kebakaran itu yang mempunyai pinjaman dengan bank menghubungi bank masing-masing.
Katanya, langkah tersebut adalah bagi membincangkan sokongan diberikan melalui laman web rasmi atau talian perkhidmatan pelanggan bank masing-masing.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |