MARA diberi enam bulan siapkan pindaan akta – Zahid
PUTRAJAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) diberi tempoh enam bulan untuk menyiapkan pindaan Akta MARA bagi memperkukuh pengurusan kewangan dan tadbir urus agensi berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting supaya segala urusan berkaitan pinjaman, pelaburan dan pemauditan dapat disatukan di bawah satu sistem yang lebih efisien.
“Saya telah membawa perkara ini ke mesyuarat besar kementerian baru-baru ini dan memberi tempoh enam bulan kepada pihak MARA untuk mempersiapkan pindaan akta tersebut.
“Kita mahu MARA kembali kepada peranan asalnya yang selari dengan tujuan penubuhannya pada tahun 1965 melalui Kongres Ekonomi Bumiputera,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan November 2025 dan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari, Aras B1, KKDW hari ini.
Menurut Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, MARA memiliki aset melebihi RM23 bilion dan perlu diurus dengan penuh amanah serta berkesan bagi mengelakkan sebarang kegagalan.
“Kita mesti belajar daripada kesilapan lalu dan memperbetulkan kelemahan supaya MARA dapat membuktikan kepada kerajaan serta rakyat bahawa ia berada di landasan yang betul,” katanya lagi.
Zahid turut menyatakan keyakinan bahawa MARA berpotensi untuk berdikari sepenuhnya suatu hari nanti.
“Dengan aset, pelaburan dan keuntungan yang ada, saya yakin MARA mampu berdiri di atas kaki sendiri bagi membiayai aktiviti-aktiviti yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






