BERITA SEMASA

Mara, anak syarikat perlu jana untung bersih lebih tinggi – PAC

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Corp dan Mara Inc perlu sentiasa memastikan semua projek yang sedang dan akan dilaksana agensi itu menjana keuntungan bersih yang tinggi, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurut Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, jawatankuasa itu mengambil maklum terhadap pemantauan diambil KKDW, Mara dan Mara Corp serta strategi ditambahbaik oleh Mara Inc terhadap projek pembangunan, termasuk pembangunan hartanah, projek tenaga boleh baharu dan pelan pemasaran.

“PAC mahu supaya Mara Inc memastikan semua hutang dibayar secara teratur selaras dengan Pelan Penyelesaian Hutang yang sudah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung syor terhadap pemilikan Premiera Hotel & Resorts Sdn Bhd (PHKL), Mas Ermieyati menegaskan Mara Inc perlu memastikan pelan pemulihan Kumpulan Mara Inc dipenuhi.

Katanya, ini merangkumi strategi pelan pemulihan di PHKL untuk menyasar mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM84.1 juta pada tahun 2023 kepada keuntungan terkumpul sebanyak RM0.8 juta dilaksanakan.

“Mengenai syor penyediaan pelan operasi standard (SOP) penyewaan hartanah, ulasan PAC adalah agar Mara Inc sentiasa melihat semula dan menambah baik SOP supaya mengikut keperluan dan peredaran masa.

“Jawatankuasa ini mengingatkan MARA Inc mengenai perkara ini, biarpun pihak Mara Inc sudah mempunyai SOP Pajakan (Leasing) dan Pungutan (Collection) serta menguatkuasakan pematuhan terhadap SOP berkenaan,” katanya.

Katanya, PAC juga mengambil maklum tindakan Mara Inc untuk menggubal satu dasar lengkap berhubung penilaian hartanah dan mengingatkan supaya dasar itu sentiasa dipatuhi dan dikemaskini selepas mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Mara Inc.

“PAC sekali lagi menegaskan keperluan penelitian, pematuhan dan penambahbaikan terhadap garis panduan dan dasar sedia ada supaya skandal hartanah MARA Inc tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.

Pada November lalu, PAC menegur Mara Inc berhubung pembelian hartanah terlebih nilai di London, United Kingdom (UK) dan Melbourne, Australia masing-masing pada 2013 serta 2014 yang dilakukan tanpa kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

Selain itu, PAC berpandangan tindakan Mara Inc memohon hutang sedia ada membabitkan Hotel Premiera kepada ekuiti buat kali kedua selepas kali pertama pada 2015, adalah satu langkah yang seharusnya tidak berulang.

Justeru, PAC mengesyorkan KKDW, MARA, Mara Corp dan Mara Inc perlu memastikan Hotel Premiera mempunyai perancangan jelas supaya penukaran hutang kepada ekuiti dapat membantu memberi pulangan ke arah kelestarian syarikat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button