
Mapim anjur protes ‘The Day of Anger’, tuntut Israel diheret ke muka pengadilan
KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan menganjurkan perhimpunan aman ‘The Day of Anger’ pada Jumaat ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan Iran.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan selepas solat Jumaat itu akan bermula dari pekarangan Bangunan Tabung Haji menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara.
Beliau menjangkakan kira-kira 5,000 peserta bakal menyertai protes tersebut.
“Kita akan menyerahkan memorandum kecaman kepada Kedutaan AS, yang antara kandungannya adalah kecaman terhadap tindakan AS yang membenarkan Israel bertindak sedemikian.
“Kita juga mendesak supaya AS menghentikan sokongan kepada Israel dan mendesak supaya Israel didakwa atas jenayah yang dilakukan di Gaza dan Tebing Barat, yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya ketika ditemui media di Kedutaan Republik Islam Iran, hari ini.
Azmi memberi jaminan bahawa perhimpunan tersebut akan berlangsung secara aman dan pihaknya sedia memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa.
“Kami telah memberikan notis awal dan akan terus berunding dengan pihak berkuasa termasuk dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.
Azmi juga menyuarakan kekecewaan terhadap badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam yang gagal memainkan peranan dalam menangani krisis di Asia Barat itu.
Pada Jumaat lalu, Israel melancarkan serangan udara dengan menyasarkan kepimpinan tertinggi tentera Iran serta saintis nuklear utama negara tersebut.
Serangan itu didakwa bertujuan untuk melumpuhkan program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan lebih 1,000 peluru berpandu dan dron ke wilayah Israel.
Setakat ini, seramai 224 orang dilaporkan terkorban sejak serangan Israel bermula manakala 1,277 lagi telah dimasukkan ke hospital dengan 90 peratus daripadanya adalah orang awam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |