BERITA SEMASA

Mangsa penipuan haji digesa segera buat laporan – MAIS

CYBERJAYA – Mangsa penipuan pakej haji digesa segera membuat laporan polis dan memberi segala maklumat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap sindiket serta individu terbabit.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, tindakan tegas dengan mengheret mereka ke mahkamah bertujuan memastikan gejala tidak bertanggungjawab itu dapat dibanteras segera dan menyelamatkan umat Islam daripada ditipu.

Dalam masa yang sama, katanya, MAIS turut menasihati umat Islam supaya menyemak latar belakang dan kelulusan penyedia perkhidmatan ibadah haji, termasuk mendapatkan pengesahan status agensi berkenaan melalui semakan senarai Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen dalam laman rasmi Lembaga Tabung Haji (TH).

“Seterusnya, berhati-hati terhadap tawaran pakej haji yang terlalu murah atau percuma kerana ini biasanya merupakan modus operandi penipuan.

“Selain itu, melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan media sebelum ini berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa bainda terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji membabitkan umat Islam di negara ini.

“Lebih menyedihkan apabila pihak mengeksploitasi itu adalah dalam kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi,” titah baginda dalam satu hantaran menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda sekali gus menitahkan supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan mengambil kesempatan untuk menipu umat Islam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button