Mangsa parah kebakaran saluran paip gas gas Putra Heights semakin baik
PUTRAJAYA – Keadaan mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Selangor dilaporkan bertambah baik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mangsa lelaki berusia 21 tahun itu telah menerima rawatan intensif sejak kejadian pada 1 April lalu.
“Alhamdulillah, keadaan mangsa semakin stabil namun masih memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan World Physical Activity Day (WoPAD) Peringkat Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Dzulkefly, beliau sendiri berkesempatan menziarahi mangsa pada hari kedua selepas insiden berlaku dan menerima maklum balas daripada pihak hospital.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sehingga pukul 3 petang semalam, seramai 30 orang mangsa masih menerima rawatan di hospital – 13 di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 17 lagi di hospital swasta.
“Setakat ini, seramai 120 daripada keseluruhan 150 mangsa telah dibenarkan keluar hospital,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan tiada kematian direkodkan dalam insiden kebakaran tersebut meskipun pelbagai dakwaan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat turut menegaskan bahawa tiada laporan polis diterima berkaitan kematian dalam kejadian berkenaan.
Insiden kebakaran pada Hari Raya Aidilfitri kedua itu menyebabkan api menjulang tinggi dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi separa musnah, 57 rumah terkesan tanpa terbakar dan 218 rumah tidak mengalami sebarang kerosakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






