
Mangsa kebakaran saluran gas terima pinjaman kereta selama sebulan
SUBANG JAYA – Sebahagian mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini akan menerima kemudahan pinjaman kereta selama sebulan oleh Chery Corporate Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 25 buah kereta telah diserahkan kepada mangsa yang terlibat.

“Hari ini ada penyerahan simbolik pinjaman kereta selama sebulan buat mangsa yang terkesan.
“Baki sebanyak 25 buah kereta lagi akan diserahkan pada Isnin depan kepada mangsa yang diberi kontrak pinjaman mereka,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights.
Menurut Amirudin, secara keseluruhan terdapat 112 permohonan untuk pinjaman kereta daripada mangsa yang terjejas dalam kejadian tersebut.
“Setakat ini kita telah menerima lebih 200 tawaran pinjaman kereta daripada beberapa syarikat termasuklah Carsome (50) Carro (30), Go Car (20) dan DRB-Hicom (62).
“Selain itu, pihak Chery Corporate Malaysia juga telah memberikan duit minyak sebanyak RM100 bagi setiap kereta bagi kemudahan mangsa.
“Tidak ketinggalan mereka juga berbesar hati menyumbangkan sejumlah RM50,000 kepada Masjid Putra Heights bagi menampung perbelanjaan utiliti sebagai PPS untuk mangsa,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Amirudin juga memberitahu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan akan memaklumkan perkembangan laporan semasa berkaitan siasatan pada petang ini.
Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang sama-sama melawat dan memberi sokongan moral kepada mangsa terlibat.
Pada 1 April lalu, ketika umat Islam meraikan hari raya kedua Aidilfitri, negara digemparkan dengan insiden kebakaran saluran paip gas milik Petronas yang menyebabkan lebih 200 buah rumah terjejas dan lebih 100 mangsa mengalami kecederaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |