BERITA SEMASA

Mangsa banjir Johor terus berkurangan

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus menurun kepada 248 orang di empat daerah terjejas di negeri ini, setakat pukul 9 pagi tadi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, mangsa yang terdiri daripada 60 keluarga masih lagi berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, Kota Tinggi mempunyai mangsa terjejas paling ramai ketika ini membabitkan 124 orang daripada 27 keluarga di dua PPS.

Ia diikuti Segamat dengan 63 mangsa terjejas daripada 17 keluarga di dua PPS.

“Kluang pula mempunyai 38 mangsa banjir daripada 11 keluarga di sebuah PPS manakala Batu Pahat 23 mangsa daripada lima keluarga juga di sebuah PPS di sana

“Mersing pula sudah menutup sebuah PPS yang ada di sana mulai pukul 9 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Negeri Johor menasihatkan semua penduduk berwaspada berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu sepenuhnya ketika ini.

Katanya, ia berikutan sebuah sungai di Segamat manakala sebuah empangan di Mersing melepasi paras bahaya pagi ini.

“Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat melepasi paras bahaya apabila merekodkan aras 3.16 meter pagi ini.

“Empangan Labong di Mersing turut melepasi paras bahaya apabila merekodkan bacaan 8.53 meter berbanding paras bahaya 8.42 meter, pagi ini.

“Tiga sungai masing-masing di Segamat, Kluang dan Mersing turut berada pada paras amaran pagi ini.

“Ia membabitkan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat merekodkan paras amaran 8.83 meter. Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang turut berada pada paras amaran 14.19 meter manakala Sungai Paya Dato’ di Mersing turut berada pada paras amaran 1.96 meter,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button