BERITA SEMASA

Malaysia, UK perkukuh kerjasama strategik dalam TVET, tenaga hijau dan pembangunan luar bandar

LONDON – Malaysia dan United Kingdom (UK) komited memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tenaga boleh baharu, pembangunan luar bandar dan perubahan iklim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan hari ini berkata, komitmen tersebut dizahirkan ketika pertemuannya bersama Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK, Steve Reed.

Menurut beliau, Malaysia menyatakan hasrat untuk menjadi Hab Pensijilan dan Kecemerlangan TVET ASEAN, khususnya dalam bidang berimpak tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik (EV), industri penerbangan dan tenaga hijau.

“Saya turut berkongsi aspirasi Malaysia untuk memperluas jalinan kerjasama bersama institusi akademik dan industri di UK bagi memperkukuh latihan, pensijilan dan kebolehpasaran graduan TVET,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia juga menyatakan minat untuk mempelajari pendekatan UK dalam membangunkan kawasan luar bandar sebagai zon pertumbuhan ekonomi mampan.

“Kami turut membincangkan isu pengurusan bencana, akses air bersih serta keperluan penggunaan teknologi baharu dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap perubahan iklim global,” katanya.

Dalam sektor tenaga, kedua-dua negara turut menyentuh potensi kerjasama dalam pembangunan tenaga boleh baharu, termasuk pembangunan Grid Kuasa ASEAN dan peluang pelaburan dalam tenaga solar serta tenaga hijau.

“UK menerusi penubuhan syarikat nasional GB Energy memperlihatkan komitmen tinggi dalam pembangunan tenaga boleh baharu. Malaysia bersedia menjadi rakan kongsi strategik dalam usaha ini,” ujar beliau.

Ahmad Zahid turut mengetengahkan potensi instrumen kewangan Islam seperti sukuk bagi menyokong kerjasama dalam pembiayaan iklim dan pembangunan mampan.

Menurutnya, langkah itu mampu memangkin industri halal global termasuk menerusi penubuhan Majlis Halal Dunia dan penggunaan satu logo halal seragam bagi memperkukuh kepercayaan pengguna antarabangsa terhadap piawaian halal Malaysia.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk terus memperkukuh hubungan perdagangan menerusi perjanjian CPTPP dan kerjasama sektor swasta (B2B) yang boleh memberi kelebihan strategik bersama.

“Saya percaya pertemuan ini membuka ruang baharu dalam memacu kerjasama Malaysia-UK ke tahap yang lebih strategik khususnya ke arah masa depan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button