BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Malaysia–UAE perkukuh hubungan strategik, MoU Pertahanan dimeterai sempena lawatan kerja dua hari Khaled Nordin

ABU DHABI – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melangkah setapak lagi dalam hubungan strategik dua hala apabila kedua-dua negara memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan sempena lawatan kerja dua hari Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke negara itu pada 11 dan 12 Disember lalu.

Khaled UAE
Mohamed Khaled Nordin tiba di Emiriah Arab Bersatu untuk lawatan kerja selama dua hari. – Foto Kementerian Pertahanan

Mohamed Khaled tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai lewat malam kelmarin sebelum memulakan rangka lawatan yang melibatkan siri pertemuan penting termasuk perbincangan dua hala dengan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, Mohamed Mubarak Fadhel Al-Mazrouei di Kementerian Pertahanan UAE di Abu Dhabi.

“Semoga lawatan ini memberi manfaat dan membuka ruang kerjasama baharu yang lebih erat dalam aspek keselamatan dan pertahanan yang menguntungkan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pertemuan dengan Mohamed Mubarak, Khaled menzahirkan penghargaan atas jemputan dan layanan mesra kerajaan UAE selain menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama pertahanan secara konsisten.

Khaled UAE
Mohamed Khaled dan Mohamed Mubarak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan antara kedua-dua negara.

UAE pula mengiktiraf hubungan erat kedua-dua negara dan mengalu-alukan peluang kolaborasi antara syarikat Malaysia dengan EDGE Group, konglomerat pertahanan dan teknologi milik kerajaan UAE.

Khaled turut membentangkan potensi Malaysia dalam bidang semikonduktor dan komponen aeroangkasa yang berupaya menyokong rantaian bekalan produk pertahanan EDGE Group pada masa hadapan.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama,” katanya lagi.

Antara inisiatif yang dibincangkan ialah cadangan latihan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kapal kelas Gowind milik UAE sebagai persediaan operasi kapal LCS Malaysia yang menggunakan teknologi sama.

UAE menyambut baik cadangan tersebut dan akan meneliti bentuk latihan yang sesuai.

“Semoga usaha-usaha ini terus menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan keamanan serantau dan sejagat, di samping mempererat lagi hubungan dua hala Malaysia-UAE khususnya dalam bidang pertahanan,” tegas beliau.

MoU perluas skop kerjasama pertahanan

Dalam pada itu, MoU Malaysia–UAE yang dimeterai dalam lawatan itu juga dianggap sebagai permulaan penting kerana ia meluaskan skop kerjasama daripada hubungan ketenteraan tradisional kepada usaha lebih menyeluruh termasuk penyelidikan bersama, penerokaan pengeluaran produk pertahanan, pembangunan keupayaan baharu serta koordinasi latihan dan perkongsian kepakaran.

“MoU ini juga bakal menjadi jambatan penting bagi memulakan libat urus industri dengan segera khususnya dalam mengenal pasti bidang tumpuan bersama dan potensi projek berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan demi memperkukuh ekosistem industri pertahanan di kedua-dua negara,” katanya.

Kunjungan ke Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi

Dalam lawatan tersebut, Khaled turut meluangkan masa berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi.

Khaled UAE
Mohamed Khaled bersama Duta Besar Malaysia ke Abu Dhabi, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Duta Besar, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin serta warga kedutaan atas usaha berterusan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–UAE termasuk dalam bidang pertahanan.

“Peranan kedutaan bukan sahaja menjaga kepentingan rakyat Malaysia di luar negara tetapi juga menjadi pemangkin kepada diplomasi pertahanan dan agenda keselamatan negara,”jelasnya.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MINDEF, Mohd Yani Daud; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik MINDEF, Datuk Muhammad Ammir Haron.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button