
Malaysia -Turkiye perkukuh kerjasama dalam pendidikan tinggi
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bersama Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YÖK), Profesor Erol Özvar bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia–Türkiye berkaitan pendidikan tinggi.
Menurut Zambry, penganjuran mesyuarat jawatankuasa pertama ini adalah berdasarkan kepada komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperkukuh dan mempelbagaikan bentuk kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi.
Beliau berkata, mesyuarat yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 di Istanbul itu turut disertai oleh barisan pengurusan tertinggi pendidikan tinggi Malaysia dan Turkiye, termasuk beberapa Naib Canselor dan Rektor universiti dari kedua-dua negara.
Katanya, antara agenda penting yang telah dicapai adalah penubuhan Jawatankuasa Kerja Khas Bersama yang terdiri daripada wakil-wakil pegawai kanan kedua-dua negara; pelaksanaan pembiayaan bersama projek penyelidikan dalam bidang-bidang strategik yang telah dikenal pasti; serta latihan dan pembangunan kapasiti untuk pegawai kerajaan, pensyarah, penyelidik dan pelajar dari kedua-dua negara.
Selain itu, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai penawaran biasiswa agar dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan oleh pelajar Malaysia dan Türkiye; mengenal pasti bidang tumpuan untuk kerjasama bersama termasuk program akademik dan penyelidikan; dan emperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi politeknik dengan tumpuan kepada bidang kemahiran utama yang menjadi keutamaan Malaysia dan Türkiye seperti bidang maritim, kejuruteraan dan teknologi.
”Kami juga bersetuju untuk menyemak semula Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaian pelaksanaannya; dan persetujuan untuk mengadakan mesyuarat ini secara tahunan, dengan penganjuran secara bergilir antara kedua-dua negara. Malaysia akan menjadi tuan rumah pada tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Mesyuarat Jawatankuasa bersama itu juga telah mencapai kata sepakat untuk memperluaskan lagi ruang perbincangan dan kerjasama dalam aspek-aspek yang membawa manfaat besar kepada pembangunan pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Terdahulu, Zambry telah menyampaikan ucaptama dalam Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 dan menyentuh tentang pentingnya kerjasama serta kolaborasi pendidikan tinggi pada masa kini.
Beliau bersama Profesor Erol juga telah menyaksikan pemeteraian beberapa MoU dan Surat Hasrat (LoI) antara institusi Malaysia dan Türkiye, iaitu MoU antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Universiti Ondokuz Mayis, Samsun dan Universiti Istanbul Gedik.
Selain itu, MoU antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Universiti Kocaeli dan Universiti Hacettepe juga turut dimeterai.
“Kami juga menyaksikan LoI antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan Universiti Karabuk dan Universiti Teknikal Istanbul,” katanya.
Zambry menambah, penganjuran mesyuarat jawatankuasa bersama itu merupakan satu lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Türkiye dalam pendidikan tinggi.
“KPT yakin bahawa langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi berimpak tinggi, termasuk pemindahan ilmu, penyelidikan bersama, dan pembangunan bakat pada skala global,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |