Berita Semasa

Malaysia tunggu lampu hijau hantar pegawai perubatan ATM ke Myanmar

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang menunggu kelulusan akhir daripada Myanmar untuk mengatur gerak Hospital Medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi bantuan kemanusiaan susulan bencana gempa bumi yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pihak kerajaan juga telah bersetuju untuk menampung segala perbelanjaan bagi mewujudkan fasiliti tersebut.

“Kita hanya tunggu pihak Myanmar berikan lampu hijau di mana hospital medan ini akan dibina,” katanya tanpa memaklumkan secara terperinci berhubung berapa anggota yang bakal terlibat dalam misi tersebut.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Majlis Hari Raya Kementerian Pertahanan yang turut dihadiri timbalannya, Adly Zahari.

Semalam, Mohamed Khaled memaklumkan seramai 35 pegawai perubatan akan dihantar ke Myanmar susulan persetujuan kerajaan untuk ATM menyediakan kemudahan hospital medan di Myanmar atas permohonan negara itu, baru-baru ini.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, kerajaan akan menghantar hospital medan dan bantuan kemanusiaan termasuk pasukan perubatan ke Myanmar.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan secara dasar untuk negara menghantar hospital medan ke Myanmar seperti mana pernah diberikan kepada Turkiye sebelum ini berdasarkan keperluan rakyat negara itu yang memerlukan kemudahan serta bahan perubatan.

Pada 28 Mac lalu, gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala richter yang melanda wilayah tengah Myanmar meragut lebih 300 nyawa dan mencederakan ribuan yang lain, selain menyebabkan kemusnahan besar di beberapa kawasan utama termasuk Magway, Bago dan Mandalay.

Bencana itu menyaksikan ratusan struktur bangunan termasuk sekolah, hospital dan rumah ibadat runtuh, manakala kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan dan bekalan elektrik turut terjejas teruk.

Ribuan penduduk kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara dengan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan air bersih yang semakin meruncing.

Kerajaan Myanmar mengisytiharkan beberapa kawasan terjejas sebagai zon bencana dan merayu bantuan daripada komuniti antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button