
Malaysia tuan rumah smart City Expo Asia 2025
KUALA LUMPUR – Malaysia bakal mencatat sejarah menjadi tuan rumah pertama di rantau Asia Tenggara bagi acara berprestij bertaraf antarabangsa, Smart City Expo World Congress, yang akan berlangsung dalam edisi serantaunya di ibu negara.
Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 September ini, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju baharu dalam bidang inovasi bandar pintar, transformasi digital dan pembangunan mampan di peringkat serantau.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penganjuran SCEKL25 merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam usaha negara untuk muncul sebagai hab digital utama di Asia Tenggara.
“Acara ini bakal mencetuskan perbincangan transformatif serta kolaborasi rentas sempadan yang signifikan berkenaan masa depan kehidupan bandar.
“SCEKL25 yang bertemakan ‘AI Cities: Shaping Our Digital Future’ akan menghimpunkan lebih 2,000 delegasi dan 10,000 pengunjung dari seluruh ASEAN dan antarabangsa, termasuk tokoh teknologi global, perancang bandar, pelabur serta pembuat dasar,” katanya ketika melancarkan majlis simbolik 100 hari menjelang SCEKL25 yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, expo itu akan berteraskan empat tonggak utama iaitu Bandar AI; Bandar Mampan dan Tahan Lasak; Keusahawanan Digital dan Pembangunan Ekonomi serta Pemerkasaan Komuniti.
“Keempat-empat elemen sejajar dengan matlamat jangka panjang negara menerusi Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) yang menyasarkan pencapaian status Negara Pintar menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil menyifatkan penganjuran SCEKL25 sebagai titik perubahan penting dalam landskap inovasi bandar di Asia Tenggara.
“Ia adalah platform strategik untuk menunjukkan bagaimana teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu menjadi pemangkin ke arah penciptaan bandar yang lebih tahan lasak, adil dan efisien,” katanya.
Tambahnya, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah juga selari dengan peranan negara selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Langkah itu diyakini dapat menyokong aspirasi Rancangan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 ke arah integrasi digital dan infrastruktur serantau yang lebih kukuh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |