Malaysia tidak sokong sepenuhnya pelan damai, masih dalam ‘status’ berhati-hati
KUALA LUMPUR – Malaysia berpendirian pelan damai Gaza yang diumumkan baru-baru ini belum sepenuhnya mencerminkan prinsip utama yang sekian lama diperjuangkan negara, khususnya berhubung hak dan kepentingan rakyat Palestin.
Susulan itu, Malaysia memilih untuk tidak menyertai Persidangan Antarabangsa Keamanan yang berlangsung di Sharm el-Sheikh, Mesir, semalam, sebagai tanda pendirian berhati-hati terhadap pelan tersebut.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Malaysia menilai pelan damai itu perlu menekankan beberapa aspek penting termasuk jaminan perlindungan kepada rakyat Palestin, bantuan kemanusiaan segera, penamatan penjajahan Israel serta pembentukan negara Palestin merdeka.
“Aspek-aspek ini amat penting bagi menjamin keamanan berpanjangan di Asia Barat dan Malaysia akan terus memperjuangkannya,” jelas kenyataan itu.
Wisma Putra turut memaklumkan bahawa sebanyak 24 negara dijemput menyertai sidang berkenaan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat (AS) dan Mesir.
“Negara-negara tersebut dipilih berdasarkan sokongan penuh mereka terhadap pelan damai yang diumumkan pada 29 September lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Malaysia tetap menyambut baik pelan damai Gaza serta pelaksanaan gencatan senjata fasa pertama antara Hamas dan Israel pada 9 Oktober lalu, namun menegaskan bahawa komitmen itu masih di peringkat awal ke arah menghentikan penderitaan rakyat Palestin.
“Malaysia mengambil pendirian berhati-hati dan melihat perjanjian itu hanya sebagai langkah pertama untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran serta kemusnahan akibat perang Israel terhadap Gaza,” tambah kenyataan itu.
Presiden AS, Donald Trump, mengetuai kehadiran pemimpin dunia di Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi selaku tuan rumah.
Sidang itu turut menghimpunkan lebih 20 pemimpin antarabangsa bagi membincangkan pelan damai menyeluruh selepas dua tahun konflik di Gaza, termasuk pelaksanaan pembebasan tebusan dan tahanan Palestin di bawah gencatan senjata terkini.
Persidangan berprofil tinggi itu dilihat sebagai titik tolak baharu diplomasi global ke arah mengakhiri keganasan serta membina semula keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








