
Malaysia, Thailand komited tingkatkan pelaburan, perdagangan dua hala
PUTRAJAYA – Malaysia dan Thailand menyatakan komited untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala sehingga USD$30 bilion (RM135 bilion) menjelang 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran itu ditetapkan selepas mengenal pasti potensi ekonomi yang besar antara kedua-dua negara.
“Menerusi Pasukan Petugas Bersama mengenai Perdagangan dan Pelaburan, kami mensasarkan jumlah sebanyak AS$30 bilion menjelang 2027.
“Kita mungkin dilihat sangat bercita-cita tinggi, tetapi melihat kepada potensi ekonomi yang besar di kedua-dua negara, sasaran ini adalah sesuatu yang perlu kita usahakan,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar bersama selepas pertemuannya dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di sini hari ini.
Sebelum sidang akhbar, kedua-dua pemimpin itu menghadiri Rundingan Tahunan (AC) Malaysia-Thailand ke-7, yang meninjau kemajuan cemerlang dalam hubungan dan kerjasama dua hala sejak AC terakhir pada 2016.
AC memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan bidang kerjasama utama, termasuk infrastruktur, perdagangan dan keselamatan, memastikan penyiapan semua projek komited tepat pada masanya. Ia termasuk projek jajaran jalan yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao serta pembinaan jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok, Narathiwat.
Mengenai keamanan serantau, Anwar mengulangi sokongan Malaysia untuk dialog dan inisiatif keamanan komprehensif di selatan Thailand, menekankan kepentingan pembangunan untuk memastikan kestabilan.
“Keamanan dan pembangunan mesti berjalan seiring untuk manfaat Thailand Selatan dan Utara Malaysia,” katanya.
Mereka juga menegaskan komitmen bersama untuk menyelesaikan isu Laut China Selatan secara aman dan konstruktif, mengikut undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS 1982.
Sementara itu Paetongtarn dalam kenyataannya merakamkan ucapan terima kasih atas layanan mesra Malaysia dan memperakui kepentingan persahabatan Thai-Malaysia.
“Tujuan utama lawatan saya adalah untuk memperakui kepentingan persahabatan Thailand-Malaysia dan komitmen kami untuk meluaskan kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pelancongan dan keterhubungan sempadan,” katanya.
Beliau juga menekankan potensi usaha bersama dalam industri getah dan halal, mengetengahkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama getah dan kebudayaan yang ditandatangani baru-baru ini sebagai langkah ke hadapan dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan rakyat.
Perdana Menteri Thailand itu turut menyampaikan jemputan kepada Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Thailand.
Terdahulu kedua-dua perdana menteri menyaksikan pemeteraian dua MoU untuk meningkatkan kerjasama dalam Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, serta Industri Getah dan Kerjasama Ekonomi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |