
Malaysia terima kunjungan Presiden Xi Jinping bermula 15 April
PUTRAJAYA – Malaysia bakal menerima kunjungan Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping, bermula 15 hingga 17 April ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lawatan bersejarah itu bakal memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara Malaysia dan China dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
“Lawatan ini bukan hanya dinantikan ia sebahagian daripada usaha Malaysia sebagai negara perdagangan yang mana kita ingin lihat hubungan perdagangan yang lebih baik termasuk China,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN yang bakal berlangsung esok akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.
Beliau berkata, mesyuarat tersebut dijangka membincangkan pelbagai isu perdagangan serantau serta langkah-langkah strategik bagi memperkukuh integrasi ekonomi Asia.
“Susulan daripada mesyuarat tersebut, National Geoeconomic Command Center (NGCC) akan bersidang pada hari Isnin bagi meneliti hasil perbincangan antara Menteri Perdagangan serta pertemuan Perdana Menteri dengan beberapa pemimpin negara Asia.
“Beberapa keputusan penting dijangka akan dimuktamadkan dalam sidang tersebut, termasuk dasar dan inisiatif baharu yang bakal memberi impak kepada landskap ekonomi negara,” katanya.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Presiden AS itu turut mengumumkan tarif timbal balik yang tinggi terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah (20 peratus), Vietnam (46 peratus), Sri Lanka (44 peratus), Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, selepas China dan Singapura yang menyumbang 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Tengku Zafrul akan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington hujung bulan ini untuk membincangkan tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS ke atas Malaysia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |