
Malaysia teguh sokong Palestin, bersama Turkiye perjuang keadilan – PM
KUALA LUMPUR – Malaysia terus komited menyokong perjuangan rakyat Palestin dan berdiri teguh bersama Turkiye dalam mempertahankan hak serta maruah mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, perkara itu dinyatakan dalam satu panggilan telefon bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan petang tadi yang dibuat sempena sambutan Aidiladha.
Katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Erdogan atas pendirian konsisten dan lantang dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang tertindas.
“Kami sepakat bahawa saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, kita tidak boleh berpeluk tubuh.
“Malaysia tentunya menyambut baik dan mendukung penuh pendirian Presiden Erdogan untuk menggunakan segala wahana, keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin,” katanya.
Anwar dalam pada itu menyifatkan kunjungan rasmi Presiden Erdogan ke Malaysia baru-baru ini sebagai antara lawatan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah hubungan diplomatik negara.
Katanya, lawatan itu bukan sekadar pertukaran protokol, tetapi turut melibatkan rundingan substantif yang menyentuh pelbagai kepentingan bersama antara kedua-dua negara.
“Saya melihat kunjungan ini sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju jitu kedua-dua negara dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye dalam membentuk kesatuan strategik yang mampu memperjuangkan suara umat Islam di pentas dunia.
“Dalam semangat Aidiladha, pengorbanan, keteguhan dan keyakinan terhadap seruan Ilahi, Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |