BERITA SEMASAPMX

Malaysia sokong kepimpinan Afrika Selatan terajui G20, pacu kerjasama strategik dua hala

KUALA LUMPUR – Malaysia menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan strategik dengan negara-negara di benua Afrika selepas Afrika Selatan mencipta sejarah memegang tampuk Kepresidenan Kumpulan 20 (G20).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bukan sahaja signifikan kepada pembangunan rantau tersebut malah seiring dengan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang menekankan prinsip solidariti, kesaksamaan dan kemampanan.

Anwar Afrika Selatan
Anwar bersama delegasi Malaysia mengadakan mesyuarat bersama Ramaphosa dan barisan kepimpinan beliau.

Dalam pertemuan beliau dengan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, Anwar memaklumkan kedua-dua negara meneliti perkembangan hubungan dua hala yang semakin positif, terutama selepas lawatan rasmi Ramaphosa ke Malaysia pada Oktober lalu.

“Malaysia bersedia memuktamad dan menandatangani beberapa dokumen penting termasuk MoU Kerjasama ekonomi dan industri, kerjasama halal, pertanian, tenaga hijau, teknologi, penyelidikan serta kerjasama pendidikan dan TVET.

“Saya turut menawarkan ruang dan insentif di MY Integrated Circuit (IC) Design Park kepada syarikat dari Afrika Selatan untuk menyertai rantaian nilai semikonduktor Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, perdagangan termasuk import daging lembu serta pembangunan sains dan inovasi.

Anwar turut meminta dukungan Afrika Selatan terhadap pencalonan Malaysia di beberapa badan antarabangsa seperti Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Majlis Ekonomi dan Sosial PBB (ECOSOC), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Menurutnya, Malaysia komited membina hubungan yang lebih kukuh berteraskan solidariti, keyakinan dan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Anwar kini berada di Johannesburg bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20, selepas melengkapkan lawatan kerja ke Addis Ababa, Ethiopia dan dijadual meneruskan perjalanan ke Nairobi, Kenya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button