BERITA SEMASA

Malaysia sertai UAE, Rwanda perkasa kerjasama AI global selatan

DUBAI – Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Rwanda bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara-negara Global Selatan.

Ketiga-tiga negara akan bekerjasama di bawah rangkaian global Centre for the Fourth Industrial Revolution (C4IR) untuk mempromosi tadbir urus serta penggunaan etika AI, sekali gus menyokong pembangunan sosioekonomi di rantau terlibat.

Kerjasama strategik itu dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dubai Future Foundation (badan sah bagi C4IR UAE), C4IR Rwanda dan MyDigital Corporation – agensi di bawah Kementerian Digital Malaysia – sempena Minggu AI Dubai yang sedang berlangsung.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini dalam usaha mempercepat transformasi digital negara secara inklusif dan mampan.

“Perkongsian ini mencerminkan komitmen bersama untuk membentuk masa depan berasaskan inovasi AI yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Program Persekutuan AI C4IR yang digerakkan menerusi inisiatif ini diharap menjadi jambatan penting untuk menghubungkan pakar serta peneraju AI dari seluruh dunia.

Melalui program itu, ketiga-tiga negara akan berkongsi ilmu, bertukar kepakaran dan membangunkan penyelesaian bersama bagi menangani cabaran kritikal dalam bidang AI.

Malaysia menjadi negara ketiga menyertai Program Persekutuan AI C4IR selepas UAE dan Rwanda yang menandatangani kerjasama asal semasa Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2024 di Davos.

Penyertaan Malaysia dijangka memacu kerjasama lebih meluas, termasuk dalam pertukaran bakat, projek bersama dan pembangunan rangka kerja tadbir urus AI yang menyeluruh serta berpaksikan nilai Global Selatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button