Malaysia sasar jadi peneraju serantau AI, perkukuh infrastruktur, bakat digital
DUBAI — Malaysia kini giat mempercepat langkah untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat digital serta pengukuhan infrastruktur bernilai tinggi, termasuk rangkaian pusat data yang sedang berkembang pesat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan komited untuk membina ekosistem AI yang bersedia menghadapi cabaran masa depan menerusi pendekatan strategik dan menyeluruh.
Berucap ketika acara Machines Can See yang berlangsung di Museum of the Future di Dubai semalam, beliau menegaskan kepentingan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dalam menyelaras usaha pelbagai kementerian bagi mengenal pasti serta memenuhi keperluan bakat digital negara.
“NAIO berperanan sebagai jambatan antara sektor awam dan swasta dalam memahami keperluan sebenar untuk melahirkan serta mengekalkan bakat digital tempatan. Malaysia komited menyediakan peluang dalam bidang teknologi dan melahirkan peneraju inovasi AI dalam kalangan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif digital, selaras dengan matlamat Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia 2025–2030, termasuk menyusun semula proses menarik bakat global.
“Kita mempunyai visi jangka panjang yang jelas. Pemerkasaan pembangunan kemahiran digital dan akses kepada peluang adalah antara teras utama pelan pertumbuhan negara,” ujarnya.
Gobind turut menekankan perlunya perubahan dalam pendekatan pendidikan digital negara, agar tidak hanya tertumpu di peringkat universiti.
“Modul teknologi yang relevan perlu diterapkan di setiap peringkat pendidikan dari sekolah rendah, menengah hingga pengajian tinggi.
“Langkah ini penting untuk melahirkan bakat sejak awal dan menangani jurang kemahiran masa depan,” jelas beliau.
Dalam masa sama, Malaysia juga dilihat semakin menyerlah sebagai hab serantau bagi pusat data—komponen penting dalam penggerak teknologi AI dan transformasi digital negara secara menyeluruh.
“Kita sedang menarik pelaburan global ke dalam sektor pusat data. Malaysia mempunyai infrastruktur, tenaga kerja serta dasar yang menyokong pertumbuhan pesat sektor ini,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pusat data bukan hanya aset fizikal semata-mata, sebaliknya merupakan teras kuasa teknologi AI dan pemangkin peluang ekonomi merentasi pelbagai sektor.
“Ekosistem di sekeliling pusat data akan mencetuskan inovasi dan penciptaan pekerjaan. Ini amat penting dalam merealisasikan aspirasi kita ke arah ekonomi digital yang mampan,” ujar beliau.
Mengakhiri kenyataan, Gobind menegaskan komitmen kerajaan terhadap pendekatan inklusif dan rentas sektor dalam pembangunan AI negara, dengan memberi penekanan kepada sinergi antara bakat, infrastruktur dan dasar yang kukuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






