
Malaysia salur RM10 juta bantuan kemanusiaan kepada Myanmar
KUALA LUMPUR – Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM10 juta kepada rakyat Myanmar yang terkesan akibat gempa bumi yang melanda negara itu baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tersebut merupakan langkah awal bagi meringankan beban mangsa selain menunjukkan solidariti Malaysia terhadap negara jiran yang dilanda bencana.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, saya telah mengarahkan Menteri Luar Negeri untuk mengetuai misi kemanusiaan ke Myanmar minggu hadapan bagi menyatakan sokongan terhadap operasi mencari dan menyelamat yang sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini bagi membantu usaha menyelamat serta memberikan bantuan kepada mangsa yang memerlukan.
Menurut Anwar, kerjasama erat dalam kalangan negara ASEAN amat penting dalam menghadapi situasi sebegini, selain memastikan tindakan yang diambil lebih pantas dan berkesan.
“Keutamaan ASEAN dalam memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemahkan menerusi tindakan yang menyeluruh,” katanya lagi.
Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN lain bagi menyelaras bantuan yang diperlukan oleh Myanmar.
“Kita mahu memastikan setiap usaha yang digerakkan benar-benar memberi impak yang bermakna kepada mangsa yang terkesan.
“Malaysia akan terus memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan ASEAN yang berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama, dan solidariti,” jelasnya.
Bantuan itu mencerminkan peranan proaktif Malaysia dalam menangani krisis kemanusiaan serta mengukuhkan hubungan serantau demi kesejahteraan rakyat ASEAN.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |