BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

Malaysia perkukuh jalinan ekonomi dengan UK menerusi francais dan pelancongan

LONDON – Malaysia terus memperkukuh hubungan dagang dengan United Kingdom (UK) melalui sektor francais dan pelancongan, hasil lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke London.

Dalam Dialog Perniagaan Francais Malaysia–UK yang berlangsung semalam, Ahmad Zahid menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkasakan ekosistem francais negara.

Ia akan dilakukan melalui pelaksanaan Dasar Francais Negara 2030, pembiayaan oleh MARA, geran digital daripada MDEC serta sokongan berterusan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ahmad Zahid berbual dengan salah seorang wakil pemain industri francais di London.

“Malaysia menyasarkan RM100 bilion hasil jualan francais menjelang tahun 2030,” katanya sambil mengalu-alukan kemasukan francais dari UK untuk meneroka potensi besar pasaran ASEAN melalui Malaysia.

Beliau turut mendedahkan cadangan untuk menjadikan sektor francais sebagai fokus utama dalam Malaysia–UK SME Working Group di bawah Jawatankuasa Ekonomi dan Perdagangan Bersama (JETCO) dengan matlamat membantu jenama Malaysia menembusi pasaran UK secara lebih menyeluruh menjelang 2026.

Dalam sektor pelancongan, Ahmad Zahid mempengerusikan Sesi Meja Bulat Pelancongan bersama pemain industri UK sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Malaysia melihat UK sebagai pasaran berimpak tinggi dan sasaran kita adalah untuk meningkatkan ketibaan pelancong UK ke Malaysia kepada 500,000 orang menjelang tahun 2026 berbanding 390,000 pada masa ini,” katanya.

Selain itu, turut diadakan pelancaran kempen antarabangsa VM2026 diadakan di London dengan penekanan kepada pelancongan lestari, budaya mesra pelancong serta pengalaman autentik seperti inap desa yang menonjolkan keunikan luar bandar Malaysia.

“Malaysia bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi jambatan budaya dan hospitaliti yang mampu menghubungkan hati serta mencipta peluang dan kenangan.

“Saya yakin pendekatan strategik ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dagang dan pelancongan Malaysia–UK serta menjana manfaat langsung kepada usahawan, pelabur dan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button