
Malaysia perkukuh hubungan diplomatik melalui Mesyuarat Majlis Kekebalan Negara Asing
PUTRAJAYA – Malaysia terus memperkukuhkan hubungan diplomatik dengan negara-negara asing melalui Mesyuarat Majlis Kekebalan Negara Asing Bilangan 1 Tahun 2025 yang berlangsung hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat itu menandakan pertemuan pertama selepas Akta Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2024 (Akta 853) mula dikuatkuasakan pada 30 Ogos tahun lalu.
Anwar berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau itu bertujuan memberi penerangan mengenai fungsi, kuasa serta keanggotaan majlis tersebut selain membincangkan proses permohonan kekebalan di bawah akta berkenaan.
“Dengan penguatkuasaan Akta 853 ini, Malaysia dapat mempromosi dan mengukuhkan hubungan diplomatik dengan negara-negara asing selain mencerminkan prinsip undang-undang antarabangsa awam mengenai kekebalan negara,” kata dalam satu hantaran di Facebooknya malam ini.
Menurut Anwar, pelaksanaan akta itu juga penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa, selain berperanan dalam meningkatkan ekonomi dan menjamin keselamatan negara.
Katanya, akta tersebut juga dilihat sebagai langkah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem perundangan negara yang menjamin perlindungan kepada mereka.
“Ia juga merupakan satu inisiatif reformasi institusi yang menyaksikan Malaysia menerima pakai secara zahir undang-undang adat antarabangsa (customary international law) yang menetapkan bahawa sesebuah negara dilindungi daripada tindakan dan prosiding di mahkamah negara asing,” katanya.
Penguatkuasaan Akta 853 dijangka memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena diplomasi antarabangsa serta memberikan kejelasan terhadap kekebalan negara asing dalam bidang kuasa tempatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |