BERITA SEMASAPMX

Malaysia hargai komitmen Itali perkukuh hubungan rentas benua

ROM – Malaysia menghargai hubungan erat dengan Itali sebagai rakan penting dalam memperkukuh kerjasama rentas benua demi keamanan, kemakmuran dan kemajuan bersama.

Penghargaan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Republik Itali, Antonio Tajani di ibu negara Itali semalam.

Menurut Anwar, pertemuan itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin, berlandaskan prinsip saling menghormati.

“Kami turut membincangkan usaha memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk hubungan Malaysia serta ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Anwar berkata, beliau dan Antonio turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan global termasuk konflik berterusan di Gaza, situasi di Ukraine serta perkembangan terkini di Asia Barat yang melibatkan Iran dan Israel.

Itali
Anwar bersama delegasi Malaysia dalam sesi libat urus bersama peneraju industri dan perniagaan utama Itali. – Foto Facebook Anwar Ibrahim

Terdahulu, Anwar turut mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi libat urus secara langsung bersama peneraju industri dan perniagaan utama Republik Itali, meliputi sektor strategik seperti pertahanan dan tenaga.

Beliau berkata, pihaknya turut bertemu Fincantieri dan Leonardo, dua syarikat gergasi pertahanan yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 tempoh hari bagi memperkukuh prospek kerjasama jangka panjang.

Baca juga : PM tiba di Rom, komited perkukuh hubungan Malaysia-Itali

“Saya tekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara.

“Saya turut mengadakan pertemuan bersama syarikat tenaga Itali, ENI, untuk membincangkan kerjasama bersama Petronas di Malaysia serta meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau manfaatkan sesi itu untuk menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan diyakini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button