Malaysia komited perkemas standard keselamatan makanan, pertanian bersama China dan ASEAN
CHONGQING, China – Malaysia terus memperkukuh kerjasama serantau dalam aspek keselamatan makanan, kesihatan haiwan dan tumbuhan melalui penyelarasan standard Sanitary and Phytosanitary (SPS) di peringkat ASEAN dan China.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dibincangkan pada The 9th China-ASEAN Ministerial Meeting on Sanitary and Phytosanitary (SPS) yang berlangsung di sini, hari ini.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan para menteri dari negara-negara ASEAN dan China bagi memperkukuh kerjasama dalam memastikan perdagangan produk makanan, pertanian, ternakan dan tanaman berjalan dengan lebih lancar, selamat serta memberi manfaat bersama.
“Usaha menyelaras dan memperkemas standard SPS amat penting memandangkan ASEAN dan China kini merupakan antara rakan dagang terbesar dalam sektor makanan agro dengan nilai dagangan mencecah puluhan bilion dolar setiap tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, Malaysia sentiasa memastikan produk makanan agro negara mematuhi piawaian antarabangsa bagi mengekalkan keyakinan rakan dagang luar.
Beliau berkata, kerjasama SPS bukan sahaja dapat memperkukuh keselamatan makanan serantau malah membuka lebih banyak peluang untuk produk Malaysia menembusi pasaran China, khususnya dalam sektor makanan, hasil pertanian dan produk berasaskan tanaman.
“Insya-Allah, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan strategik ini demi manfaat petani, nelayan, penternak serta seluruh rakyat.
“Semoga usaha ini membawa lebih banyak peluang dan kejayaan kepada negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






